Abu Nawas adalah seorang yang cerdik dan
mempunyai pemikiran yang luas, tetapi perwatakannya sangat melucukan dan
menjadi bahan ketawa kepada orang ramai pada masa itu. Beliau sangat
disanjungi dan disayangi oleh Khalifah Harun Al-Rashid.
Pada
suatu hari Abu Nawas pergi ke pasar untuk berjumpa kawan-kawannya.
Keadaan pasar pada pagi itu sibuk dengan orang ramai yang sedang membeli
belah. Apabila tiba sahaja di pasar Abu Nawas berkata "Hai
kawan-kawanku, aku sangat benci kepada yang hak dan sangat cinta kepada
fitnah" dan beliau berkata lagi "Aku sesungguhnya pada hari ini sangat
kaya malah lebih kaya daripada Allah".
Orang ramai yang
mendengar ucapan Abu Nawas mulai rasa curiga dan menuduh Abu Nawas sudah
tidak siuman lagi karana semua orang sangat mencintai kepada perkara
yang hak dan membenci kepada fitnah dan sesungguhnya Allah Maha Kaya
dari sekelian makhlukNya.
Orang ramai yang berada disitu telah
menangkap Abu Nawas dan membawanya mengadap Khalifah Harun Al-Rashid.
Orang ramai memberi tahu Khalifah Harun Al-Rashid tentang ucapan Abu
Nawas di pasar tadi, Khalifah sangat marah dengan kata-kata Abu Nawas.
Oleh kerana Khalifah adalah seorang pemerintah yang adil, beginda tidak
terus menghukum Abu Nawas sehingga beliau benar-benar pasti akan
kebenaran kata-kata Abu Nawas.
Khalifah bertanya kepada Abu
Nawas "Adakah benar kamu mengatakan bahawa kamu sangat membenci kepada
yang hak dan mencintai kepada fitnah?". "Benar wahai Amirul Mukminin"
jawab Abu Nawas. Khalifah bertanya lagi "Adakah benar kamu mengatakan
bahawa kamu lebih kaya daripada Allah?". Jawab Abu Nawas "Benar wahai
Amirul Mukminin".
Khalifah Harun Al-Rashid sangat marah kepada
Abu Nawas kerana setahunya Abu Nawas adalah seorang yang alim dan
sentiasa bertakwa kepada Allah. Khalifah berkata "Apakah yang telah
terjadi kepada kamu?. Telah kafirkah kamu kerana sanggup mengucapkan
kata-kata tersebut?".
Abu Nawas tersenyum dan berkata "Sabarlah
wahai Amirul Mukminin, dengarlah dahulu penjelasan hamba". "Apa yang
kamu hendak jelaskan lagi, bukankah kata-kata kamu sudah jelas dan
nyata" jawab Khalifah.
"Begini wahai Amirul Mukminin" jawab Abu
Nawas dan menyambungnya lagi "Aku sering mendengar orang membaca talkin
bahawa mati itu adalah hak dan neraka adalah hak, bukankah mati dan
neraka sangat dibenci oleh orang ramai" "Saya rasa Amirul Mukminin juga
membenci akan mati dan neraka sama seperti saya membencinya" kara Abu
Nawas. Khalifah Harun Al-Rashid mengangguk-nganggukkan kepalanya
menandakan kebenaran kata-kata Abu Nawas.
"Bagaimana pula
dengan kata-kata mu bahwa kamu sangat mencintai kepada fitnah" kata
Khalifah. Jawab Abu Nawas "Anak dan Harta boleh membawa kepada fitnah,
tidak ada seorang pun yang membenci akan anak dan harta. Khalifah
sendiri sangat mencintai anak dan suka mengumpulkan harta". Khalifah
sekali menganggukkan kepalanya sebagai menandakan kebenaran kata-kata
Abu Nawas.
Khalifah Harun Al-Rahid bertanya lagi "Terangkan
kepada ku bagimana kamu mengatakan bahawa kamu lebih kaya daripada
Allah". Abu Nawas menjawab dengan selamba "Saya mempunyai ramai anak
sedangkan Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan". Orang ramai yang
berada disitu berasa lega dan berpuas hati diatas penjelasan Abu Nawas.
Mereka pun beredar dari situ untuk meneruskan aktiviti masing-masing.
Khalifah Harun Al-Rashid memberikah hadiah kepada Abu Nawas diatas
kebijaksanaannya dan berkata berkata kepada Abu Nawas "Apakah sebenarnya
yang menyebabkan kamu mengucapkan kata-kata tersebut di khalayak
ramai". Abu Nawas menjawab bahawa dia ingin berjumpa dengan Amirul
Mukminin, hanya dengan cara itu sahajalah dia dapat berjumpa dengan
Amirul Mukminin.
Setelah berbual-bual dengan Khalifah Harun Al-Rashid, Abu Nawas memohon diri dan beredar dari situ.
No comments:
Post a Comment