Wednesday 30 May 2012

Batu Kerikil Bertasbih Di Telapak Tangan Rasulullah.

             


 Abu Zar r.a suka mendampingi Rasulullah SAW untuk mendengar hadis dan belajar daripada baginda. Pada suatu hari, Abu Zar r.a. pergi menemui Rasulullah SAW di satu tempat. Rasulullah SAW bertanya: "Apa yang menyebabkan kamu datang ke mari?" Maka dijawabnya kerasa rasa cinta dia kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Kemudian baginda meminta Abu Zar r.a. duduk di sampingnya.

Tidak lama kemudian Abu Bakar as-Siddiq r.a. datang. Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Bakar r.a.: " Apa yang menyebabkan kamu datang ke mari? " Jawapan Abu Bakar r.a. serupa dengan jawapan Abu Zar r.a. "Yang menyebabkan saya datang ke sini hanyalah cinta saya kepada ALLAH dan Rasul-Nya." Kemudian datanglah Umar r.a. dan menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW. Baginda menjawab salamnya dan bertanya kepada Umar r.a.: "Apa yang menyebabkan kamu datang ke mari?" Jawapan Umar r.a. juga serupa. "Saya datang ke sini kerana cinta saya kepada ALLAH dan Rasulullah."

Terakhir, datanglah Uthman r.a. Kemudian Rasulullah SAW bertanya: "Apakah yang menyebabkan engkau datang ke sini?" Uthman r.a. menjawab dengan perasaan dan hati yang sama, "Saya datang ke sini didorong oleh kecintaan saya kepada ALLAH dan Rasulullah."

Kemudian Rasulullah SAW menggenggam tujuh atau sembilan butir batu kerikil. Tiba-tiba batu itu bertasbih di tangannya. Kemudian baginda memberi batu-batu itu kepada Abu Bakar r.a. Batu kerikil itu terus bertasbih di tangan Abu Bakar r.a. Kemudian Abu Bakar r.a. meletakkan batu itu di atas tanah, dan batu itu diam membisu. Rasulullah SAW meminta Umar r.a. untuk mengambil batu itu. Kemudian batu-batu itu bertasbih di tangan Umar r.a seperti mana dia bertasbih di tangan Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a.

Umar r.a. meletakkan batu-batu kerikil itu di atas tanah dan batu itu terdiam semula seperti yang asal. Kemudian Rasulullah SAW meletakkannya di atas tangan Uthman bin Affan r.a. Batu itu juga bertasbih di tangan Uthman r.a. Kemudian, baginda SAW mengambilnya lalu meletakkannya di atas tanah. Batu-batu kerikil itu berhenti bertasbih.

(Riwayat Al-Baihaqi, Al-Bazzar dan At-Thabrani)

No comments:

Post a Comment