Adapun
terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga
dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik
dari kamu kerana Allah SWT telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai
negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan
lain-lain." Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu
kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, Arasy,
Kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit,
ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para
utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)." Bumi
berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan
bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam,
seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang
paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya
juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa apabila
bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia
mengadap Allah SWT
dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang
yang tertimpa bahaya apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak
dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepadaMu ya Allah supaya
Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia
dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah SWT mengabulkan
permintaan langit, kemudian Allah SWT memberi wahyu kepada Jibrail pada
malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam
ini dan engkau Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."
Jibrail bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?" Allah SWT
berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke
syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq
itu."
Buraq adalah seekor binatang yang rupanya seperti kuda.
Saiznya kecil sedikit daripada kuda tapi lebih besar dari keldai.
Lariannya sepantas kilat. Selangkah lompatannya, sejauh mata memandang
jaraknya. Buraq akan memanjangkan kaki belakangnya ketika ia mendaki
manakala akan memanjangkan kaki depannya pula apabila ia menurun.
Menggerak-gerakkan telinga dan kakinya adalah tabiat semulajadi buraq.
Di samping rupanya yang cantik, terdapat sayap pada kedua-dua pehanya.
Sayap ini adalah untuk membantu kecepatan lompatannya.
Kemudian
Jibrail pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang
di taman syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad SAW.
Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail terpandang pada seekor buraq yang
berwarna putih sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail lalu
menghampirinya lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama
Muhammad SAW sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam
hatiku dan sesudah itu aku menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu
makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata
Jibrail, "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau
rindukan itu." Kemudian Jibrail memakaikan pelana dan kekang kepada
buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW. Ketika sampai di
bumi, buraq yang dibawa oleh Jibrail itu menojang-nojangkan kakinya. Ia
seolah-olah enggan ditunggangi. Melihat demikian, malaikat Jibrail
memegangnya dan berkata: "Wahai buraq! tidak malukah engkau? Demi Allah,
orang yang akan menunggangi engkau adalah orang yang paling mulia di
sisi Allah SWT". Mendengar perkataan Jibrail itu maka bercucuranlah
peluhnya. Ia kelihatan kemalu-maluan dan tidak lagi resah. Nabi SAW pun
naik ke tempat yang tersedia di atas badan buraq, sebagaimana dilakukan
oleh nabi-nabi sebelum baginda nabi SAW.
Setelah siap segalanya,
terbanglah buraq membawa nabi Muhammad SAW memulakan Israk. Dalam
perjalanan itu, Jibrail mendampingi nabi SAW di sebelah kanan baginda
SAW manakala Mikail di sebelah kiri.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment