Dari Fatimah binti Qais mengatakan: "Saya telah mendengar muazzin
memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama
Rasulullah SAW. Selesai solat, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar.
Nampak semacam bergurau Baginda SAW tertawa dan berkata: "Jangan ada
yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sejadahnya." Kemudian
berkata: "Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang
pulang?" Kami menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih tahu."
Rasulullah
SAW berkata lagi: "Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan
ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin
menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah
seorang Nasrani,
kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita
kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu
sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya
dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin
kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah
samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai
sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka
terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang
tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat
tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka
bertanya kepada binatang itu: "Makhluk apa engkau ini?" Binatang itu
menjawab: "Saya adalah Al-Jassasah." Mereka tanya: "Apa itu
Al-Jassasah?" Binatang itu hanya menjawab: "Wahai kumpulan lelaki,
pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke
tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka
menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka
tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke
tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke
telapak kakinya. Mereka bertanya: "Siapakah anda?" Orang seperti
raksaksa itu menjawab: "Kamu telah mendengar cerita tentang aku.
Sekarang aku pula ingin bertanya: "Siapa kamu ini?"
Mereka
menjawab: "Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut
menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke
tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan.
Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
"Pada
mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga
kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya
Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: "Wahai
kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki
macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu."
Itulah
sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan
tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya." Makhluk yang sangat
besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:
"Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu," nama
tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: "Keadaan apanya yang tuan
maksudkan?" Orang besar itu menjawab: "Maksudku apakah pokok kurma itu
berbuah?" Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang
besar tadi berkata: "Aku takut pokok itu tidak berbuah."
Orang
besar itu bertanya lagi: "Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabariah."
Mereka menjawab: "Tentang apanya yang tuan maksudkan?" Lelaki itu
menjawab: "Maksudku airnya apakah masih ada." Mereka menjawab: "Airnya
tidak susut." Lelaki itu berkata: "Air sungai itu disangsikan akan
kering."
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: "Kalau
begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?"
Mereka menjawab: "Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah." Lelaki
itu bertanya lagi: "Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?" Mereka
menjawab: "Ya, mereka memeranginya." Lelaki itu bertanya lagi: "Kalau
begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?" Mereka ceritakan bahawa
Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai
pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: "Memang begitulah,
padahal mereka beruntung jika taat kepadanya." Kata orang besar itu
lagi: "Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih
Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah
dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua,
kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri
Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat
menembusinya."
Katanya lagi, "Rasulullah SAW menekankan
tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: "Inilah negeri yang tidak
dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah
sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?" Mereka menjawab: "Ya, sudah
ya Rasulullah." Rasulullah SAW berkata lagi: "Sememangnya hadis Tamim
itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa
yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah
dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada
mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah
timur. Ia dari arah timur," kata Rasulullah SAW sambil menunjuk ke arah
timur.
Rasulullah SAW telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan
datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang
dari Khurasan atau Isfahan.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment