Ujian Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal
adalah sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada ummat manusia yang
beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda: "Sejak Allah SWT menciptakan
nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti tidak ada satu ujianpun yang
lebih dahsyat daripada Dajjal."
Sebelum kemunculan Dajjal, dunia
Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau panjang selama
tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan kurang sabanyak 1/3 daripada
biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3 daripada biasa dan pada tahun
ketiga hujan terus tidak turun. Umat ketika itu akan dilanda
kebuluran
dan kemarau. Di saat itulah Dajjal akan muncul membawa ujian. Dalam satu
riwayat, penyokong Dajjal akan memiliki bergunung roti (makanan)
sedangkan orang-orang yang tidak percaya dengannya berada dalam
kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini, sahabat RA bertanya kepada
Rasulullah SAW: "Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam pada hari itu
wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab: "Mereka akan merasa kenyang
dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir
itu menggantikan makanan."
Dalam satu hadis
riwayat Nuaim bin Hammad: "... Lalu Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal
syaitan-syaitan yang ada di timur dan ada di barat dan merekapun datang
berbondong ke hadapan Dajjal dan menunjukkan kesediaan mereka untuk
mengikuti apa jua perintahnya. Mereka berkata kepada Dajjal: "Gunakanlah
kami untuk apa sahaja tujuanmu". Dajjal menyahut "Ya! aku akan berbuat
demikian. Maka pergikanlah kamu pada kesekelian manusia dan usahakanlah
supaya mereka meyakini bahawa aku adalah tuhan mereka. Khabarkah kepada
mereka bahawa aku telah membawa untuk mereka syurgaku dan nerakaku."
Kemudian
syaitan-syaitan itupun bertebaranlah di mukabumi dan masuk ke
rumah-rumah orang dengan bilangan yang sangat banyak, lebih dari seratus
syaitan untuk sebuah rumah. Syaitan-syaitan itupun menjelma dalam
bentuk ayah tuan rumah itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya,
hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya. Mereka berkata kepada tuan rumah
itu: "Wahai fulan, apakah kamu mengenali kami?" Tuan rumah itu menjawab:
"Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini ibuku, ini saudara
perempuanku, ini saudara lelakiku."
Tuan rumah itu berkata lagi:
"Apa khabar kamu semua?" Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Bahkan apa
khabar engkau. Cuba ceritakan kepada kami keadaan engkau."
Tuan
rumah itu pun berkata: "Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami
bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat
kerosakan)." Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Janganlah engkau
terburu-buru berkata demikian. Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal
itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap
nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan
ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari
sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah".
Ketika itu
tuan rumah tadi berkata: "Kamu semuanya pembohong. Kamu adalah
syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya
Rasulullah SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan
baginda SAW telah menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah
menyuruh kami supaya menjaga anak-anak kami. Maka tiada kata aluan untuk
kamu semua. Kamu adalah syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah SWT.
Dan sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan nabi Isa bin Maryam untuk
membunuhnya."
Kalau tuan rumah itu berkata demikian akan surut
dan diam lalu mereka (syaitan-syaitan) segera pulang dengan hampa tangan
dan kehinaan."
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata:
"Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu
Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling
hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang
diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku
adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir.
Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia
datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah
sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku,
maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan
menjaga orang-orang mukmin.
"Dajjal itu akan datang nanti dari
satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu
cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini
akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan
oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."
"Pada mulanya nanti
Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi
sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah
bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati.
Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak
sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAF
FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca
atau buta huruf."
Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa
syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan
syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang
disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada
Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka
nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu
menjadi sejuk. "
"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata
kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu
yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai
tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang
menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan
suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku,
ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."
"Di antara tipu
dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua.
Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan
kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula.
Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah
Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang
kebetulan orang beriman menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan
engkau adalah musuh Allah. Orang itu beererti lulus dalam ujian Allah
dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."
Kata
Rasulullah SAW lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit
supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya
mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian
yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan
orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka
disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak
menjadi."
"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya
kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan
yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun
menjadi."
"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak
didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak
dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya
berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika
Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah
bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan
seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar
dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut
Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. "
Dari
Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Dajjal muncul
pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama.
Pada zaman Dajjal ada 40 hari, yang mana satu hari terasa bagaikan
setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang
terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."
Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun
itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah SAW menjawab:
"Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal
itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini
berjalan dengan izinKu. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya
sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu
minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan
matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin
supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin."
Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu
cepat berjalan.
Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya
berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini.
Seperti yang di ajar baginda SAW dalam doa tahiyyat akhir yang sunnat
doa itu kita baca setiap kali kita sembahyang. Doa itu adalah: "Ya
Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahannam
dan dari siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah
setelah mati, juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan
fitnah Al Masih Dajjal."
Hadis riwayat Muslim Rasulullah SAW
telah bersabda: "Sesiapa yang HAFAL 10 ayat dari pertama surah Al-Kahfi,
ia akan terpelihara dari godaan Dajjal." (Dalam riwayat lain HAFAL 10
ayat terakhir surah Al-Kahfi)
No comments:
Post a Comment