Pada zaman dahulu ada seorang pemuda
yang amat soleh dan warak. Dia juga terkenal sebagai seorang yang sangat
jujur dalam percakapan mahupun perbuatannya. Dia tinggal di sebuah kota
kecil di negeri Parsi. Abu Salih adalah seorang pemuda Islam yang kuat
beribadat, ilmu pengetahuannya amat luas dia tidak tertarik langsung
kepada kesenangan dunia. Setiap hari dia suka duduk di tepi sungai
sambil memikirkan kebesaran Allah S.W.T.
Pada suatu hari ketika Abu Salih sedang duduk di tepi sebuah sungai, tiba-tiba dia ternampak sebiji buah epal sedang dihanyutkan air. Ketika itu Abu Salih belum lagi makan apa-apa sebagai alas perutnya. Sebaik sahaja dia ternampak epal itu perutnya terasa lapar, lantas dia pun mengambil buah epal itu dan memakannya. Tiba-tiba dia tersedar akan kesalahannya. Buah epal itu adalah dari pokok kepunyaan orang.
Oleh kerana
Abu Salih seorang yang sangat beragama, dia berasa tidak senang hati
kerana telah memakan buah yang bukan haknya. Dengan tidak membuang masa
dia terus mencari tuan punya buah epal yang dimakannya itu. Dia
benar-benar ingin meminta maaf di atas keterlanjurannya. Dia ingin
memohon di halalkan buah epal yang dimakannya itu.
Setelah sekian lama dia mudik mengikut
sungai itu, akhirnya dia ternampak dahan pokok epal tersebut berjuntai
ke dalam sungai. Setelah dilihatnya pokok epal itu, maka dia yakin
bahawa epal yang dimakannya adalah dari salah satu pokok epal yang
terjuntai itu. Kerana rasa takut di atas kemurkaan Allah serta tuan
punya pokok epal, lantas dia terus berjalan mencari tuan punya pokok
epal itu. Tidak lama kemudian Abu Salih pun tiba di sebuah rumah yang
sederhana besarnya. Abu Salih mengesyaki rumah itu adalah kepunyaan tuan
punya pokok epal tersebut. Rumah itu sebenarnya kepunyaan seorang wali
Allah yang terkenal bernama Abdullah Sawmai.
Setelah memberi salam dan masuk ke rumah
orang itu, Abu Salih meminta maaf di atas kesalahan yang telah
dilakukannya. Abdullah Sawmai bersedia memaafkannya tetapi dengan syarat
Abu Salih mesti tinggal bersamanya selama 12 tahun. Wali itu sengaja
menguji sejauh manakah ketakwaannya. Di dalam hati wali itu berkata,
“Baik sungguh orang muda ini, hinggakan termakan buah epal pun dia
berasa perlu meminta maaf kepadaku.”
Abu Salih yang lurus itu bersetuju
dengan syarat yang diberikan oleh Abdullah Sawmai. Sejak dari hari itu
tinggallah dia dia bersama wali tersebut. Semasa dia berada di situ, dia
telah membantu membuat pelbagai kerja rumah dan taat pada setiap kerja
yang diberikan kepadanya. Setelah genap 12 tahun dia tinggal di situ,
dia pergi berjumpa semula dengan wali itu untuk meminta maaf sekali lagi
kerana hendak pulang ke kampung halamannya.
Sebaik sahaja selepas dia meminta maaf,
Abdullah Sawmai pun berkata kepadanya, “Aku bersedia memaafkan engkau
dengan syarat engkau mesti kahwin dengan anakku yang buta, pekak dan
juga cacat”. “Kenapa bergitu berat sekali hukuman yang diberikan
kepadaku, sedangkan aku hanya memakan sebiji epal”, bisik hati Abu
Salih. Dia terfikir juga itu mungkin satu cubaan terhadap dirinya oleh
Allah S.W.T. Mungkin ada hikmah disebalik denda tersebut. Akhirnya
dengan rela hati Abu Salih menerima syarat Abdullah Sawmai itu.
Setelah mereka dinikahkan, Abu Salih
amat terkejut apabila didapatinya isterinya tidak buta, tidak pekak dan
tidak cacat seperti yang dikatakan oleh bapa mertuanya. Sebaliknya
isterinya adalah seorang gadis yang amat cantik yang tidak pernah di
temuinya sebelum ini sepanjang hidupnya. Di dalam hatinya dia berkata,
“Mungkin ini adalah balasan Allah terhadapku kerana menahan sabar.
Tetapi kenapa pula ayah mertuaku tidak berkata yang sebenarnya kepadaku
dahulu”.
Pada suatu hari ketika ayah mertuanya
sedang duduk di pintu, Abu Salih pun datang menghampirinya seraya
bertanya, “Wahai ayahku, kenapakah ayah berkata bahawa anak ayah itu
buta, pekak dan cacat?” Maka Abdullah Sawmai pun menjawab, “Aku katakan
Fatimah isterimu itu buta sebab dia belum pernah melihat orang lain
selain dari ayahnya. Aku katakan dia pekak kerana dia dia belum pernah
mendengar sebarang kata nista dan aku katakan dia cacat kerana dia tidak
pernah membuat dosa”.
Semenjak dari hari itu Abu Salih hidup berbahagia bersama isterinya yang bernama Ummu Khair Fatimah.
No comments:
Post a Comment