Saturday 21 January 2012

Tujuh Golongan Manusia Doa Mereka Mustajab di Sisi ALLAH SWT




Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

(Surah al-Baqarah ayat 186)


Rasulullah SAW  menyifatkan doa sebagai senjata orang Mukmin dan menjadi tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Diantara berbagai macam doa yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah, ada doa yang dikabulkan dan ada pula doa yang tidak dikabulkan oleh Allah SWT. Oleh itu, seseorang hamba yang berdoa harus memahami keutamaan dan adab-adab ketika berdoa.

Berdasarkan beberapa hadis-hadis Nabi SAW terdapat tujuh golongan manusia doa mereka mustajab disisi Allah SWT. Golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Doa orang tua kepada anaknya.

Kedua : Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.

Ketiga : Doa orang yang dianiaya.

Keempat : Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa

Kelima : Doa seorang pemimpin yang adil.

Keenam : Doa seorang sahabat kepada saudaranya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap redha Allah SWT. semata.

Ketujuh : Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya

 Huraiannya : 

Pertama : Doa orang tua kepada anaknya.

Doa ibu bapa kepada anak-anaknya tidak ada hijab disisi Allah SWT kerana reda Allah SWT kepada anak-anak adalah bergantung kepada reda kedua ibu bapanya . Oleh itu anak-anak tidak boleh sama sekali derhaka kepada kedua ibu bapanya.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."

(Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Kedua : Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.

Seorang yang bermusafir dengan tujuan baik kerana Allah SWT samaada untuk menuntut ilmu, menziarahi saudara mara atau keluar rumah untuk mencari rezeki yang halal adalah perbuatan yang  dikasihi oleh Allah SWT dan diberi ganjaran pahala dan doanya makbul disisi Allah SWT. Kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada seorang yang bermusafir sekiranya dia keputusan belanja maka wang zakat boleh diberikan kepadanya.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."

(Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Ketiga : Doa orang yang dianiaya.

Allah SWT amat murka kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-Nya yang melakukan kezaliman kepada hamba-Nya yang lain. Orang yang suka melakukan kezaliman dan aniaya kepada orang lain akan mendapat balasan daripada-Nya di dunia lagi. Doa mereka yang dizalimi mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah S.W.T. berkata : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan)

Keempat : Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.

Puasa adalah satu amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan berikan dan malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan. Ada sebuah hadis qudsi yang berbunyi, “Puasa adalah milik-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.”

 
Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Turmudzi)

Kelima : Doa seorang pemimpin yang adil.

 
Seorang pemimpin yang adil, mesra rakyat dan tidak membelakangkan kehendak dan suara rakyat adalah makbul di sisi Allah SWT. Pemimpin seperti ini akan sentiasa dirahmati Allah SWT dan mendapat doa kesejahteraan daripada rakyat kerana keadilannya.
 
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Turmudzi)

 
Keenam : Doa seorang sahabat kepada sahabatnya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap reda Allah SWT. semata.
 
Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk  amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :

"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)


Ketujuh : Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya



Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka. Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.


Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita terus berdoa dan memohon kepada Allah SWT semoga doa-doa kita ditunaikan dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sekiranya kita termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang dimakbulkan doa-doanya maka janganlah kita lepaskan peluang untuk perbanyakkan doa dan memohon kepada Allah SWT.

Seorang mukimin yang banyak berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT tidaklah sama dengan mukmin yang kurang berdoa. Kerana setiap doa yang kita panjatkan kehadrat Ilahi insya Allah akan ditunaikan-Nya samaada cepat atau lambat dan berdoa itu sendiri adalah ibadah yang akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Teruskan berdoa jangan mudah berputus asa.

No comments:

Post a Comment